20 November 2007

TIME kendali radio amatur pelajar dengan angkawasan

TIME Engineering Berhad (TIME), baru-baru ini memperdengarkan komunikasi Stesen Bumi di Planetarium Negara dengan Angkasawan, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor di Stesen Angkasa lepas Antarabangsa (ISS) menerusi teknologi radio amatur kepada pelajar-pelajar empat sekolah angkat syarikat itu.

Menerusi program sekolah angkat TIME, setiap sekolah turut menubuhkan kelab Radio Amatur TIME yang dinamakan TIME Arc, yang antara lain membolehkan pelajar-pelajar berhubung menerusi radio amatur antara satu sekolah dengan sekolah yang lain.

Pada sesi tersebut juga, pasukan TIME dengan para guru setiap sekolah menganjurkan kuiz berkaitan angkasawan, angkasa lepas dan komunikasi radio dengan pelajar turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah.

Peralatan Radio amatur yang digunakan ialah radio VHF/UHF dengan kuasa elektrik 12V dan antena. Pasukan TIME yang merupakan pengendali berlesen Radio Amatur.

TIME Arc merupakan sebahagian daripada ahli Persatuan Kecemasan Radio Amatur Malaysia (MARES), yang antara lain menyediakan komunikasi semasa kecemasan, menyelaraskan perkhidmatan semasa kecemasan dan alat berkongsi pengetahuan.

Pengarah Urusan TIME, Amiruddin Abdul Aziz berkata, teknologi radio amatur telah memberi sumbangan besar dalam operasi menyelamat semasa bencana tsunami di Aceh pada 2004 dan nahas Nuri terhempas, baru-baru ini.

“TIME berbangga dapat bersama-sama menyumbang dengan menyediakan alat teknologi seperti Radio Amatur untuk mendekatkan mereka lagi dengan teknologi angkasa lepas,'' katanya.

“Sebagai syarikat milik kerajaan, TIME telah dan akan terus menjalankan pelbagai aktiviti pendidikan, sosial dan kemasyarakatan, sesuai dengan matlamat menjadi rakan pembina negara ini,'' katanya dalam kenyataan di sini,baru-baru ini.

Empat sekolah angkat TIME tersebut ialah SMK Datuk Haji Mohd. Nor Ahmad, Penang; SMK Sultan Muzaffar Shah 1, Lambor Kanan, Perak; SMK Kelana Jaya, Kelana Jaya, Selangor dan SK Kampung Melayu Niyor, Kluang, Johor mendengar sesi komunikasi itu menerusi teknologi Radio Amatur yang dikendalikan oleh TIME.

Amiruddin berkata, langkah pihaknya mendekatkan para pelajar dengan program angkasawan negara adalah satu sumbangan TIME bagi membangunkan minat mereka dalam bidang sains dan teknologi terutama berkaitan angkasa lepas serta memupuk minat pelajar menjadi angkasawan.

Sesi mendengar komunikasi antara Dr. Sheikh Muszaphar dengan Stesen Bumi di Planetarium Negara telah diadakan pada tepat pukul 10.50 malam di SMK Kelana Jaya, Kelana Jaya dekat sini pada 20 Oktober lalu.


Source: Utusan Malaysia
20 November 2007