07 October 2009

Heboh SMS ribut kuat landa Malaysia

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi semalam menafikan mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tersebar luas menyatakan satu ribut kuat akan melanda Malaysia malam tadi ekoran ramalan cuaca mengenai Taufan Parma akan melanda Filipina lewat malam tadi.

Pegawai bertugas Jabatan Meteorologi ketika dihubungi berkata, SMS itu yang mendakwa taufan berkelajuan 222 km/j akan melanda adalah satu khabar angin dan menasihati orang ramai supaya tidak panik.

SMS itu turut meminta orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak berada di jalanan.

Taufan Parma melanda Luzon pada Sabtu mengakibat tanah runtuh dan banjir serta mengorbankan 16 orang. Taufan, yang kini dikategorikan ribut tropika dengan kelajuan 55 knot, kini bertiup di perairan barat Luzon.

Katanya, ribut tropika itu diramalkan bergerak ke arah barat menghala pulau Hainan dalam beberapa hari ini.

"Kelajuan ribut tropika Parma ini akan membentuk gelombang kuat di Laut China Selatan tetapi tiada petunjuk ia akan melanda negara ini," katanya.

Jabatan Meteorologi semalam mengeluarkan amaran kategori pertama mengenai angin kuat dan laut bergelora dengan angin barat daya berkelajuan 40-50 km/j dan ombak setinggi 3.5 meter di perairan Phuket dan Samui di Thailand, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Reef North, Layang-layang, Labuan dan Sabah yang akan berterusan sehingga Jumaat. - Bernama