20 February 2009

Nelayan dikesan guna peralatan buatan Thailand, China

TUMPAT: Kegiatan mengguna peralatan set radio dua hala atau radio amatur yang tidak mempunyai kelulusan Sirim oleh nelayan negeri ini boleh menyebabkan mereka berdepan denda sehingga RM100,000 jika ditahan pihak berkuasa.

Jurucakap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata walaupun nelayan terbabit menggunakan kelengkapan radio itu untuk tujuan perhubungan di tengah laut, namun pemilikan peralatan yang tidak diluluskan itu adalah satu kesalahan.

Katanya, pemeriksaan terhadap nelayan negeri ini mendapati mereka banyak menggunakan set radio perhubungan dua hala itu yang dibawa masuk dari Thailand dan China pada harga antara RM300 hingga RM400 satu set.

"Sebahagian besar nelayan tempatan menggunakan set radio amatur keluaran Thailand dan China untuk berhubung di tengah laut kerana harganya jauh lebih murah berbanding alatan yang diluluskan Sirim yang dijual pada harga antara RM2,000 hingga RM3,000.

"Kebanyakan nelayan tidak tahu yang penggunaan set radio amatur tanpa kelulusan boleh menyebabkan mereka didakwa didakwa mengikut Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memiliki, membekal atau menggunakan alatan komunikasi yang tidak mengikut standard ditetapkan.

"Jika disabitkan kesalahan, nelayan terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya di sini, semalam.

Terdahulu, Pasukan Gerakan Marin Pengkalan Kubur diketuai Pegawai Pemerintahnya, Deputi Superintendan Tan Cheng San bersama wakil SKMM dari Cyberjaya menjalankan pemeriksaan terhadap penggunaan set radio amatur oleh lebih 10 bot nelayan.

Pemeriksaan dijalankan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dekat Geting, dekat sini mendapati sebahagian besar bot terbabit menggunakan set radio amatur buatan Thailand dan China yang kualitinya tidak terjamin.

Sementara itu, Tan berkata, pemeriksaan yang dilakukan pihaknya sebelum ini mendapati kebanyakan nelayan tempatan menggunakan peralatan komunikasi buatan luar yang tidak diluluskan kerajaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya membuat aduan kepada pihak SKMM supaya segera membuat pemantauan dan memeriksa sendiri bot yang ditahan.

"Lebih 10 bot yang diperiksa didapati menggunakan peralatan tanpa lesen dan permit, biasanya kita mudah mengesan bot nelayan yang menggunakan peralatan tanpa kelulusan berdasarkan antena di atas bot yang mereka gunakan," katanya.

Source: Berita Harian