21 March 2008

SKMM buat taklimat penggunaan radio amatur

AYER KEROH, 15 Mac - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), telah menganjurkan satu Majlis Taklimat Radio Amatur bagi mendedahkan kepada orang ramai terhadap penggunaan serta perkembangan sistem komunikasi tersebut.

Pengarah Wilayah Selatan SKMM, Bukhari Yahya berkata, sehingga kini, terdapat lebih 5,000 pengguna yang memanfaatkan kemudahan tersebut untuk tujuan berkomunikasi.

Namun, katanya, masih ada banyak ruang lagi bagi memperluaskan penggunaan radio amatur di pelbagai peringkat khususnya di kalangan warga muda negara ini.

"Dalam sesi taklimat ini kami akan menerangkan tentang cara penggunaan radio amatur dengan cara yang betul serta peraturan-peraturan yang telah digariskan bagi yang berminat untuk menjadikannya sebagai satu hobi.

"Kami juga menerangkan ada proses tertentu sebelum melayakkan seseorang itu menggunakan radio amatur serta langkah-langkah awal untuk berjinak ke arah itu," jelas Bukhari sebaik sesi taklimat itu berlangsung di Rumah Media Melaka, di sini, hari ini.

Majlis tersebut yang julung kali diadakan di negeri ini telah dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Bahagian Pembangunan Merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Zainal Hussin.

Pembentangan kertas kerja dilakukan oleh tiga wakil persatuan penggiat radio amatur iaitu, Persatuan Radio Amatur Trammistor Malaysia (MARTS), Perkhidmatan Radio Amatur Kecemasan Malaysia (MARES) serta SKMM sendiri.

Pada majlis itu juga, calon-calon yang telah lulus ujian penggunaan radio amatur telah diberikan sijil bagi melayakkan mereka memohon lesen yang sah untuk penggunaan alat tersebut.

Dipetik dari Melaka Hari Ini.com.my