21 October 2007

Angkasawan kita selesai uji kaji

TUMPUAN DUNIA: Pusat Kawalan Misi di Moscow sentiasa memantau kedudukan angkasawan di ISS.

Dr Sheikh Muszaphar lakukan penyelidikan tanpa masalah, kesihatan dipantau MCC

KEADAAN kesihatan krew di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), termasuk angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha sentiasa dipantau apabila mereka terdedah kepada pelbagai risiko sepanjang menjalankan misi di angkasa lepas.

Pengarah Program Angkasawan Negara, Kol Dr Zulkeffeli Mat Jusoh, berkata sepanjang di ISS angkasawan terdedah kepada radiasi dan mikrograviti yang akan memberi kesan terhadap sistem tubuh.

Katanya, angkasawan di ISS akan terdedah kepada radiasi yang bersamaan dengan membuat sinar-X sebanyak lima kali sehari di bumi.

"Selain boleh menyebabkan kanser, pendedahan kepada radiasi juga menyebabkan bilangan sperma subur seseorang juga merosot.

"Hasil pemantauan terhadap Dr Sheikh Muszaphar setakat ini, kita dapati keadaan kesihatan beliau adalah baik dan memuaskan sepanjang menjalani kehidupan sebagai angkasawan di ISS.

"Dia dapat tidur lapan jam sehari, dapat menyelesaikan urusan di tandas dengan selesa, tidak perlu mengambil ubat, walaupun beliau ada mengadu sakit belakang selepas tidur," katanya di sini, semalam.

Dr Zulkeffeli berkata, sistem perlindungan pasif dan aktif yang tersedia di ISS dapat menampung dan mengurangkan kesan radiasi yang dialami angkasawan.

Sistem perlindungan pasif yang tersedia di ISS terdiri daripada lapisan aluminium di bahagian luar ISS untuk membiaskan radiasi solar (matahari), baju angkasawan dan di bahagian dalaman, pembungkus makanan yang dibuat daripada bahan khas juga akan menyerap radiasi.

"Radiasi hanya memberi kesan kepada sel hidup, justeru tiada masalah untuk angkasawan memakan makanan di dalamnya," katanya sambil menambah bahagian yang paling terdedah dan kurang perlindungan kepada radiasi dalam ISS adalah kabin tidur angkasawan.

Mengenai sistem perlindungan aktif, beliau berkata, sistem komputer di pusat kawalan bumi di Pusat Kawalan Misi (MCC), Moscow akan sentiasa memantau kedudukan ISS dan menjangkakan bila akan berlaku letusan solar yang akan mengeluarkan paras radiasi lebih tinggi.

Carta yang dirumus di MCC akan dihantar ke ISS untuk mengubah sudut kedudukan bagi membolehkannya membias keluar sinar berbahaya, sekali gus melindunginya daripada pendedahan langsung kesan radiasi berpunca daripada aktiviti solar.

Dr Zulkeffeli berkata, persekitaran mikrograviti pula menyebabkan sistem cairan badan angkasawan cenderung untuk bertumpu kepada sesuatu bahagian saja.

"Justeru, angkasawan perlu sentiasa melaraskan kedudukan bagi membolehkan cairan badan seperti darah dan air dapat mengalir ke seluruh badan," katanya.

Katanya, pendedahan radiasi setiap krew ISS juga dipantau pusat kawalan di MCC, tetapi data berkenaan tidak diumumkan kerana ia dianggap sebagai rahsia peribadi setiap angkasawan.

Mengenai aktiviti angkasawan negara di ISS semalam, beliau berkata, angkasawan negara sudah menyelesaikan sebahagian besar uji kaji saintifik dan kini mengemas kini bahan dan modul untuk persediaan sebelum mendarat, mengambil video kehidupan di ISS termasuk mengerjakan solat dan meletakkan cap ISS pada semua barang simbolik dibawa.

"Menerusi perbualan kami dengan Dr Sheikh Muszaphar, beliau lebih senang bersolat secara duduk. Beliau tidak melakukannya secara berdiri kerana sukar melakukan beberapa rukun lain termasuk rukuk," katanya.

Sumber: Berita Harian