Kunci utama untuk berjaya ke udara dan dihortmati oleh rakan ham adalah BUDI BAHASA.
Tiada cara serta perkataan yang sesuai boleh menerangkan bagaimana rakan-rakan ham boleh berkongsi dalam satu jalur dan frekuansi dengan gangguan dan perselisihan yang seminima mungkin.
Rakan ham yang mempunyai minat dan bersopan pasti akan diterima walaupun berada di mana-mana jalur. Jika anda sentiasa meletak keutamaan kepada sikap sopan santun dan hormat menghormati, anda jarang menghadapi kesukaran semasa berada di mana-mana jaluran.
Sebelum anda ke udara buat pertama kali di jalur komunikasi FM dan Pengulang, anda harus mengetahui Teknik Asas Pengendalian. Cara atau teknik adalah berbeza sedikit mengikut lokasi di mana anda berada, disini beberapa prosedur am yang boleh digunakan pakai jika sesuai.
Jika anda mendengar Pengulang masih digunakan, tetapi anda mendengar satu stesen yang sedang ke udara tersebut akan mengakhiri perbualan dan keluar dari jaluran, sabar dan tunggu sehingga semua stesen keluar sebelum anda memanggil stesen rakan anda.
Jika anda mendengar perbualan tersebut agak panjang, tekan PTT umumkan Tanda Panggilan (Call Sign) anda di antara pertukaran giliran stesen tersebut. Selepas salah satu dari stesen yang sedang ke udara menerima panggilan anda, dengan cara hormat anda memaklumkan untuk membuat satu panggilan kepada stesen rakan anda.
Kebiasaannya salah satu stesen yang sedang ke udara akan membantu anda memanggilkan stesen yang hendak anda panggil tersebut. Jika tidak, buat panggilan anda seringkas yang mungkin. Jika rakan anda menjawab panggilan anda, minta beliau bertukar Frekuansi Simpleks (Simplex Frequancy) atau Pengulang yang lain, atau menunggu sehingga stesen yang ke udara selesai dengan tajuk yang sedang dibincangkan atau keluar terus dari Pengulang tersebut.
Dan JANGAN LUPA ucapkan TERIMA KASIH kepada rakan-rakan ham atau stesen yang sedang ke udara kerana membenarkan anda membuat panggilan tersebut.
Sebaliknya, jika anda di tengah-tengah perbincangan dan ada rakan ham yang lain masuk dan mengumumkan Tanda Panggilan (Call Sign) beliau di antara pertukaran stesen anda, stesen selepas anda yang akan keudara hendaklah memaklumkan stesen yang membuat panggilan tersebut untuk membuat panggilan atau menyertai perbualan yang sedang ke udara.
Adalah tidak sopan jika anda tidak mengambil maklumkan panggilan tersebut atau hanya memaklumkan ada pemanggil tetapi tidak memberi peluang rakan tersebut untuk bercakap dan ke udara. Anda tidak tahu berkemungkinan stesen tersebut amat memerlukan Pengulang untuk membuat panggilan segera. Kemungkinan besar stesen yang memanggil tersebut dalam situasi kecemasan. Anda hendaklah segera memberi laluan kepada stesen tersebut atau mana-mana stesen yang membuat panggilan agar tidak menjadi kerugian kepada mana-mana pihak.
Sesetengah ham tidak dapat menahan keghairahan untuk menekan butang PTT (Push-to-Talk) “Tekan untuk Bercakap”. Mungkin ada baiknya jika PTT ditukarkan kepada RTL (Release-to-Listen) “Lepas untuk mendengar”. Berhenti sejenak 3 saat di antara setiap pertukaran giliran stesen untuk membenarkan mana-mana rakan ham yang ingin menyertai perbincangan adalah satu cara yang baik untuk di praktiskan. JANGAN menekan PTT terus selepas stesen yang lain melepaskan PTT apabila tiba giliran anda untuk bercakap. Jika pertukaran dibuat terlalu cepat ianya akan menghalang stesen lain dari memasuki jaluran atau apa-apa panggilan kecemasan.
Kebanyakan Pengulang mempunyai jangkamasa yang telah ditetapkan TOT (Timer off Time). Jika anda bercakap terlampau panjang melebihi dari masa yang telah ditetapkan Pengulang tersebut secara otomatik akan tutup sementara.
Sentiasa bercakap dengan seringkas yang mungkin dan difahami oleh rakan yang mendengar ( Amalkan K.I.S.S – Keep It Short and Simple ). Perbualan yang pendek dan ringkas akan membenarkan ramai rakan ham boleh menggunakan Pengulang.
Kebanyakan Pengulang mempunyai kemudahan ini, tutup sementara apabila transmisi anda terlampau panjang dan melebihi masa yang dibenarkan. Belajar cara bercakap yang ringkas dan senang difahami dalam jangkamasa yang telah ditetapkan.
Jangkamasa TOT setiap Pengulang adalah berbeza, ada di antara Pengulang mempunyai masa yang cukup pendek antara 15 saat dan ada yang sepanjang 3 minit. Sesetengah Pengulang berbeza bergantung kepada jumlah trafik di jaluran tersebut, semakin banyak trafik semakin pendek masa dibenarkan.
Jika ada dua rakan ham bercakap serentak dalam satu masa, ia akan menghasilkan pertindihan (doubling). Jika anda dalam pusingan perbincangan yang sedang berjalan, keadaan ini akan menyebabkan kehilangan pusingan atau giliran stesen mana yang sepatutnya selepas satu-satu stesen ke udara.
Ada satu cara yang amat berkesan untuk mengelakan perkara tersebut dari berlaku adalah dengan sentiasa menukar giliran dengan menyebut NAMA atau TANDA PANGGILAN. Dengan menyebut “Apa pendapat anda, Bujang?” atau “Silakan, 9W2BBA” dari berlaku kekeliruan dan pertindihan. Pastikan giliran yang diberikan kepada mana-mana stesen selepas anda dalam pusingan giliran yang sedia ada, jika terlupa atau terkeliru panggil mana-mana stesen yang ada untuk memperbetulkan semula pusingan giliran agar tiada yang tertinggal atau kucar kacir susunannya.
Kunci kepada kemahiran semasa ke udara di Pengulang adalah, percakapan yang cepat dan nada yang jelas akan banyak memberi ruang kepada rakan yang lain. JANGAN membuat gangguan bising, menjerit atau hanya suara tanpa tanda panggilan (Voice with no callsign), sekejap keluar dan sekejap masuk. Jika anda dalam kumpulan yang sedang ke udara, sabar pasti giliran anda untuk bercakap akan tiba. Apabila tiba giliran anda untuk bercakap, bagi ruang masa 3 saat untuk rakan yang ingin masuk, bercakap dengan penuh cermat dan sopan serta jelas. Bercakap dengan bersemangat dan suara yang bertenaga serta sopan akan menunjukkan anda dalam situasa yang penuh kegembiraan, kesabaran dan bersedia untuk menerima apa-apa tajuk yang akan dibincangkan, situasi ini akan memberikan kepuasan kepada anda dan rakan-rakan yang sedang QSO dengan anda.
Bersambung......