18 December 2007

PERSEDIAAN BANTU MANGSA BANJIR PERLU CEKAP

BANJIR yang melanda di banyak tempat di negara ini sudah dijangkakan dan pastinya suasana ini mencabar kesediaan pihak-pihak berkaitan untuk menghadapinya.

Sebagai negara yang jarang menghadapi bencana besar, kita percaya rakyat kita juga kurang memiliki persediaan, baik dari segi perancangan mahupun ketahanan mental.

Dalam keadaan begini, kita akan terdengar rintihan dan rungutan daripada mangsa yang berasa susah akibat bencana ini di samping aduan berhubung kelemahan usaha bantuan.

Bagaimanapun, kita percaya berbanding dengan negara-negara membangun lain, Malaysia mempunyai kelebihan dari segi sistem yang mencukupi untuk menghadapi sebarang bencana khususnya banjir yang bukannya suatu yang asing.

Dalam usaha pihak kerajaan memberi segala bantuan yang diperlukan, jangan pula ada golongan tertentu membuat permintaan bukan-bukan atau tidak munasabah.

Ada kewajarannya perkara ini dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Dalam hal memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir ini, ada baiknya pihak swasta menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa dan juga kerajaan.

Namun begitu kita sedar terdapat suatu sifat negatif pada tahap-tahap tertentu yang mana terdapat kurangnya kecekapan dalam mengurus usaha bantuan ditambah pula sikap sambil lewa dan kurangnya semangat kesukarelawan bersungguh-sungguh. Banjir besar tahun lalu patut memberi banyak pengalaman kepada kita.

Bencana seperti banjir yang dihadapi sesetengah negeri sekarang merupakan ujian besar bukan saja kepada mangsa supaya menyemai sifat sabar tetapi juga kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam melaksanakan urusan menyelamat dan memberi bantuan.

Satu kesimpulan yang diperoleh daripada bencana banjir sekarang ialah negara ini masih kekurangan pasukan-pasukan sukarela yang dapat digerakkan bagi usaha menyelamat dan membantu mangsa. Sedangkan sektor sukarela merupakan komponen penting dalam masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi dan ekonomi korporat.

Sektor sukarela yang merupakan badan-badan bukan kerajaan (NGO) adalah sebahagian daripada masyarakat sivil yang wajar memiliki peranan besar dalam negara, termasuklah ketika menghadapi cabaran bencana seperti banjir ini.

Justeru sewajarnya apabila berlaku bencana seumpama itu, bukan saja pihak badan-badan kerajaan yang bertindak membantu, tetapi juga pasukan-pasukan sukarela yang bergerak di atas dana sumbangan daripada sektor korporat.

Sesungguhnya pada masa menghadapi bencana seperti inilah, semangat patriotisme dan nasionalisme mampu terserlah melalui kerjasama kerajaan, swasta dan NGO bagi sama-sama membantu warga senegara yang dalam kesusahan.

Dalam keadaan begini, fokusnya adalah membantu mangsa dan meringankan beban mereka akibat bencana ini.

Petikan Dari Rencana Pengarang Utusan Malaysia

18/12/2007